Gambar Pilihan

Tuesday 28 April 2015

KARNIVAL 3K JANA EKONOMI SISWANIAGA

oleh Nurul Hasnizan
nurulhasnizan1992@gmail.com

SINTOK- Karnival Kebudayaan ,Kesenian dan Keusahawan (3K)  pada kali ini bertujuan untuk membantu golongan mahasiswa untuk berniaga dengan memberi peluang kepada mereka untuk memajukan dan menambah pendapatan samping mereka.
    Karnival Kebudayaan ,Kesenian dan Keusahawan (3K) dianjurkan oleh Pusat Budaya dan Seni Universiti Utara Malaysia yang bermula pada 10 Mac hingga 16 Mac 2015 bertempat di Dataran Budaya, UUM.
   Kebanyakan gerai-gerai ini dimiliki oleh golongan mahasiswa di samping sewa tapak yang dikenakan sangat berpatutan.
      Antara jenis gerai-gerai yang diusahakan oleh golongan mahasiswa adalah tersebut gerai makanan, tudung, peralatan elektronik dan pakaian.
    Karnival 3K juga diserikan dengan Bengkel Penulisan Skrip, Kelas Vokal bersama Azmeer, Pertandingan DJ Corner, Bengkel Pengacaraan Majlis dan banyak lagi.
   “Karnival ini dapat meningkatkan semangat berkerjaya warga UUM menerusi kegiatan kebudayaan, kesenian dan keusahawanan” ujar Adun Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar semasa majlis perasmian.
    Menurutnya lagi, penerapan elemen keusahawanan dalam diri pelajar juga telah mendatangkan kesan positif dalam diri mahasiswa kerana akan membentuk sikap keyakinan yang tinggi dalam menempuhi cabaran hidup.
    Sementara itu, menurut Nor Hidayah Bt Adnan pelajar Jurusan Kewangan, 23, ramai golongan mahasiswa UUM telah membuka kedai sendiri bagi mendapatkan pendapatan sampingan.
    Menurutnya lagi, beliau juga ingin menjadi usahawan kecil memandangkan pendapatan dengan menjadi usahawan adalah amat lumayan.
     “Selain itu, karnival 3K juga memberi peluang kepada mahasiswa-mahasiswa lain untuk membeli barangan keperluan dengan menggunakan baucer Buku 1 Malaysia (BB1M) yang telah diterimanya”ujarnya semasa mengunjungi tapak karnival.


                                      Antara Gerai jualan sempena Karnival 3K
  


PBS UUM Terbit Buku Kronologi

                                Dato’ Haji Ahmad Zaini Japar  merasmikan Karnival 
                                     Kebudayaan, Kesenian dan Keusahawanan (3K)
oleh Siti Salina
Siti Salina_92@yahoo.com 

SINTOK 18 Mac – Pusat Budaya dan Seni (PBS) Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini berjaya menerbitkan Buku Kronologi bergambar mengenai kegiatan kebudayaan dan kesenian di UUM.
Buku Kronologi ini telah dilancarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Dato’ Haji Ahmad Zaini Japar semasa merasmikan Karnival Kebudayaan, Kesenian dan Keusahawanan (3K) pada 10 hingga 16 Mac 2015 di Dataran Budaya UUM.
Ahmad Zaini berkata, masyarakat kampus perlu membuktikan kepada dunia bahawa mereka boleh berjaya dalam semua bidang termasuklah melahirkan satu bangsa yang berbudaya besar sekali gus dapat menyatukan pemikiran, nilai dan pandangan masyarakat ke arah pembentukan sebuah negara dan bangsa yang bersatu.
Selain Karnival 3K, PBS telah melaksana lebih 20 aktiviti berimpak tinggi dalam meningkatkan kemahiran insaniah mahasiswa seperti Minggu Manifestasi Sastera Sintok, Kursus Pembangunan Seni MAKUM, UUM Cultural Festival dan Pementasan Teater Perdana.
Walaupun UUM tidak mempunyai fakulti kesenian dan kebudayaan, namun PBS tidak berasa gentar untuk meneruskan visi dan misi yang telah ditetapkan secara bersendirian tanpa bantuan fakulti-fakulti lain.
Semua program akan diberi penekanan kepada konteks kokurikulum, memandangkan ia mempunyai elemen ilmu praktikal dan ilmu falsafah yang menyokong kepada pembangunan mahasiswa secara menyeluruh.
Buku Kronologi ini diterbitkan bertujuan untuk memberikan saluran informasi kepada warga UUM dan masyarakat setempat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perkembangan kegiatan kebudayaan dan kesenian di UUM sejak awal penubuhannya sehingga tahun 2014. 
Aktiviti-aktiviti yang telah dirangka oleh PBS UUM penting untuk memperkembangkan lagi aktiviti kebudayaan di UUM dan ia seharusnya dimanfaatkan oleh mahasiswa supaya mereka lebih mengetahui budaya bangsa berbilang kaum di negara ini.
Hadir sama semasa majlis pelancaran Buku Kronologi dan Perasmian Karnival 3K ialah Pengarah PBS, Huzaidy Hussain, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Mohd Dino Khairri Shariffuddin dan Pegawai-Pegawai Kanan Universiti.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian tradisional, latin serta persembahan nyanyian daripada mahasiswa UUM dan Iqbal Ceria PopStar.