Gambar Pilihan

Sunday 31 May 2015

DEEMAZ Semakin Menempa Nama di Utara



Oleh:
Maizatolelyza bt Mohd Termedzi
Ibu kepada tiga anak ini sanggup menyahut cabaran mengukuhkan ekonomi keluarga sejak tahun 2009 lagi dan mampu menempa nama di utara semenanjung pada masa kini.
       Walaupun hanya memiliki pendidikan tingkatan lima dan tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang perniagaan, Maznah Ahmad kini mampu menarik nafas lega atas kejayaan usaha titik peluhnya memperoleh pendapatan sehingga mencecah RM 10,000 sebulan.
      Perniagaan makanan tradisional yang beroperasi di Kg Padang Siding, Arau Perlis, dimulakan dari rumah dan berjalan dengan lebih maju lagi apabila berjaya memiliki sebuah kilang kecil.
       Antara produk yang dihasilkan oleh DEEMAZ Enterprise ialah kuih bahulu, karas, sepit, kerepek pisang, dan pelbagai variasi kuih-muih tradisional lain. Kuih bahulu DEEMAZ seringkali menjadi pilihan masyarakat tempatan kerana menawarkan pelbagai perisa yang mendapat permintaan yang tinggi terutamanya pada musim perayaan.
    Pemilik produk DEEMAZ itu sendiri melalui pelbagai cabaran sepanjang mengusahakan kuih-muih tradisional tersebut. Namun, tahap kecekalan yang tinggi beliau mendorong untuk meneruskan bidang perniagaan tersebut demi mengukuhkan ekonomi keluarga.
      “Suatu ketika dahulu saya pernah hidup susah. Lantaran itu saya terpaksa memikirkan inisiatif lain untuk memajukan perniagaan dengan menggunakan resipi turun-temurun di samping menawarkan beberapa perisa yang diminta oleh pelanggan,” luah Maznah Ahmad, 44.
      Menurutnya, tiada kesudahan jika hanya menunggu bantuan atau pertolongan daripada pihak tertentu.
     Dengan berkongsikan pengalamannya dalam dunia keusahawanan, Maznah berkata, seorang usahawan yang berjaya perlu mempunyai sifat dan nilai seperti berani mengambil risiko, berfikiran terbuka dan inovatif untuk terus menapak dalam bidang keusahawanan ini.
      Katanya, jika sebelum ini beliau hanya bekerja sambilan di sebuah pasar raya di Arau untuk mencari duit tambahan, kini beliau nekad untuk meneruskan menjalankan perniagaan kuih-muih sehingga jenama DEEMAZ dikenali di kawasan utara semenanjung.
      “Seawal pagi selepas solat Subuh, saya mula masuk ke dapur untuk menyiapkan bahan untuk membuat kuih sebelum dihantar kepada pelanggan atau dijual di kawasan berdekatan.”
      “Pada mulanya saya tidak pernah menjangka penerimaan produk-produk yang dihasilkan semakin mendapat permintaan masyarakat. Disebabkan keunikan perisa kuih bahulu yang dihasilkan di samping menawarkan harga yang berpatutan, saya kini mampu memiliki lima cawangan di seluruh Perlis dan Kedah,” katanya.
      Tambahnya, untuk mendapatkan kemudahan mengenai perniagaan, saya turut mengikuti kursus yang ditawarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
       Kini Maznah mampu menggaji beberapa orang pekerja untuk membantunya dalam membuat dan memasarkan kuih-muih tersebut hingga ke negeri Kedah dan P. Pinang dalam kuantiti yang lebih besar.
       Selepas enam tahun, beliau kini boleh tersenyum melihat produknya berjaya mendapat tempat di pasaran tempatan seperti di beberapa buah pasar raya, pasar, pasar mini serta kedai runcit.
     Di sebalik kejayaannya dalam bidang perniagaan itu, Maznah juga tidak terlepas daripada pelbagai ujian dan kesukaran. Walau bagaimanapun katanya, beliau tidak berputus asa dan sebaliknya menjadikan kesukaran itu sebagai panduan dan pengajaran untuk menempa nama dan melakar lebih banyak kejayaan dalam perniagaan.
     “Saya pernah ditipu oleh pembekal sehingga mengalami kerugian  sebanyak RM 25,000, jumlah yang besar bagi usahawan kecil seperti saya.
     “Saya juga pernah ditipu pembeli yang membeli menggunakan kaedah runcit tetapi produk yang diambil tidak dibayar walaupun  selepas habis dijual,” katanya.
      Maznah berhasrat untuk terus memajukan produk DEEMAZ ke seluruh Malaysia. Beliau telah membuktikan bahawa sesiapa sahaja boleh berjaya walaupun dirinya tiada ijazah atau dari golongan keluarga ahli perniagaan. Bagi beliau kemahuan, tekad dan komitmen yang jitu telah membawanya ke gerbang kejayaan.

 

Sebahagian daripada koleksi kuih-muih yang ingin dipasarkan.