Gambar Pilihan

Sunday 31 May 2015

INANI CRAFT & DESIGN TERAP NILAI MALAYSIANA


Oleh:
Ayu Azwanie Bt Azahari
ayuazahari_92@yahoo.com


Inani Craft & Design merupakan sebuah syarikat yang mengeluarkan dan menawarkan kraf yang menggunakan bahan Hydrostone dan Plaster of Paris (POP) dalam menghasilkan produk cenderahati dan bekas bunga telur. Syarikat ini mula diasaskan sejak tahun 1996. 
Syarikat ini diasaskan oleh Puan Zuraida Yusoff, 36, bersama suaminya, Mohd Zaini Hassan. Sebelum membuka perusahaan ini, beliau merupakan seorang pensyarah di UITM.
Pada asalnya syarikat ini bertapak di Meru, Klang dan kemudian pada tahun 2002 telah berpindah ke Pasir Mas, Kelantan. Perpindahan syarikat tersebut disebabkan oleh kekurangan para pekerja. Kini, Inani Craft & Design terus berkembang dan mempunyai dua tapak perniagaan iaitu kedai di SACC Mall, Shah Alam dan kilang di Pasir Mas.
Misi syarikat adalah ingin membuktikan bahawa orang Melayu mampu untuk mengeluarkan produk kraf tangan secara pukal. Malahan, syarikat dan kilang ini memberikan pekerjaan kepada golongan yang memerlukan seperti ibu tunggal, penduduk berpendapatan rendah, dan pelajar lepasan sekolah. Dengan pembukaan kilang dapat membantu golongan keluarga yang berpendapatan rendah.
Pengasas Inani Craft & Design, Puan Zuraida, berkata objektif syarikat adalah ingin menjadi pembekal dan pengeluar seramik paling terkenal di Malaysia. Tambahnya lagi, syarikat mereka ingin mewujudkan pusat kraf yang menjadi tumpuan kepada para pelancong.
Pelbagai kesukaran yang berlaku sebelum perniagaan kraf memperoleh kejayaan seperti pada masa sekarang. Pada mulanya perniagaan produk krafi hanya beroperasi bersebelahan dengan kedai menjual kuih tetapi malangnya produk ini tidak mendapat sambutan daripada masyarakat. Kemudian mereka terpaksa membuat promosi dari pejabat ke pejabat dan dari situlah terciptanya sebuah kejayaan buat Puan Zuraida dan suaminya.
“Kejayaan saya dalam menerajui perusahaan ini juga adalah dorongan daripada suami yang sentiasa memberi semangat untuk terus berjuang dalam bidang perniagaan ini walaupun pernah mengalami kegagalan” kata Puan Zuraida, pengasas Inani Craft & Design.
Perniagaan beliau adalah berteraskan produk cenderahati untuk pelbagai majlis keramaian. Dalam majlis perkahwinan, produk cenderahati yang ditawarkan seperti bekas telur, gula-gula, pot pouri dan sebagainya. Cenderahati untuk majlis makan malam juga turut disediakan dari Inani Craft & Design.
Produk kraf yang ditawarkan oleh Inani Craft & Design juga akan mewujudkan nilai keikhlasan daripada tuan rumah atau penganjur dalam sesuatu majlis. Ketibaan hari bahagia yang mendapat sambutan dan kunjungan tetamu jemputan sudah semestinya dinantikan tuan rumah dengan penuh kegembiraan. Apatah lagi jika para tetamu disertakan dengan pemberian buah tangan untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan yang diterapkan dengan sebuah nilai keikhlasan daripada tuan rumah.  
Nilai keihlasan yang diterapkan adalah menunjukkan bahawa negara kita amat mementingkan nilai-nilai murni. Malah, nilai-nilai murni telah diajar sejak kecil lagi dan telah menjadi satu adat secara turun temurun daripada nenek moyang kita.
Melihat jenis dan kepelbagaian produk di Inani Craft & Design milik Puan Zuraida, ternyata sudah tentu wanita ini telah berusaha gigih untuk mencapai kejayaan seperti sekarang.
Di kedai tersebut menawarkan hampir 300 jenis rekaan produk kraf yang dihasilkan oleh suaminya, En Zaini Hassan. Malah produk di syarikat ini adalah unik dan amat berbeza kerana satu-satunya syarikat kraf di Malaysia yang menawarkan dan menggunakan bahan Hydrostone dan Plaster of Paris dalam menghasilkan produk cenderahati dan bekas bunga telur.
Keunikan Inani Craft & Design ialah merupakan syarikat yang pertama di Malaysia yang menawarkan cenderahati daripada produk Hydrostone dan Plaster of Paris (POP). Jenis reka bentuk dan ukiran kraf juga adalah buatan dan ukiran oleh suami beliau sendiri.
Di smping itu, keunikan ini juga dapat dilihat melalui proses reka bentuk, ukiran produk, pewarnaan, kemasan dan pembungkusan adalah dilakukan di kilang tersebut. Produk kraf juga merupakan 100% keluaran Malaysia dan buatan tangan (home-made).
Nilai Inani Craft & Design ini terletak pada ukiran tangan yang sentiasa mencuba untuk memenuhi kehendak pelanggan. Malah, harga produk kraf yang ditawarkan juga adalah berpatutan dan pelanggan juga mampu untuk menerima perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat ini.
Puan Zuraida berkata, pihak mereka akan memastikan bahawa perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan dapat memberikan kepuasan yang maksimum kepada pelanggan di samping menjaga kebajikan pekerja dan pelanggan beliau.
Perniagaan Inani Craft & Design mampu menerapkan nilai Malaysiana di mana produk kraf mereka yang ditawarkan adalah berasaskan buatan dan keluaran Malaysia. Malah, nilai-nilai murni juga mampu diterapkan dengan keikhlasan daripada tuan rumah yang memberikan cenderahati kepada para tetamu. 
 

Kedai Inani Craft & Design di SACC Mall, Shah Alam.

No comments:

Post a Comment