Gambar Pilihan

Wednesday 3 June 2015

Usahawan Bubble Shake Siswa Thailand



 Oleh:
 Siti Salina bt M. Ramli

        Kehidupan sebagai pelajar di universiti berbeza dengan kehidupan di luar kampus. Perbezaan ketara yang dapat dilihat ialah dari segi kewangan di mana kehidupan di universiti memerlukan perbelanjaan yang besar. Isu kewangan dan kos sara hidup yang semakin meningkat memerlukan perbelanjaan yang besar. Pinjaman PTPTN atau biasiswa yang diperolehi masih tidak mencukupi.
       Situasi yang berlaku ini telah mendorong sebahagian besar siswa untuk berniaga bagi menambah duit poket mereka sendiri. Jikhaideel Chelaek pelajar program Pemasaran di Universiti Utara Malaysia merupakan antara mahasiswa yang terpanggil untuk menjalankan perniagaan sendiri. Beliau yang berasal dari Narathiwat, Thailand mengusahakan satu jenama iaitu teh gelombang revolusi baru, Bubble Shake.
      Bubble Shake adalah minuman berasaskan teh hijau yang mula dijual sejak 23 Mei 2014. Ianya merupakan idea daripada Jikhaideel sendiri di mana beliau melihat pelbagai air minuman yang dijual di Thailand mula dijual di Kedah terutamanya di kawasan UUM. Dengan melakukan sedikit inovasi maka terhasillah Bubble Shake yang semakin laris. Buat masa ini hanya minuman sejuk yang dikeluarkan oleh Bubble Shake memandangkan kiosk yang disewa tidak mempunyai bekalan elektrik.
        Menurut Jikhaideel, tujuan asal beliau mengusahakan minuman ini adalah untuk menampung perbelanjaan beliau di universiti selain mahu membantu keluarganya. Selama lebih kurang setahun perniagaan ini dijalankan, beliau sangat berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh masyarakat kampus dimana pelajar-pelajar turut membantu membuat promosi dengan memuat naik gambar minuman ini ke dalam laman sosial.
        “Tugas pelajar bukan hanya untuk belajar, tetapi juga pelajar perlu pandai dalam membahagikan masa dan mencari peluang-peluang untuk menjana pendapatan,” tambahnya lagi.
         Usahawan muda berusia 22 tahun ini kini bertindak mendaftarkan perniagaan Bubble Shake di Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Dalam usia semuda ini, beliau mampu memperolehi tiga hingga empat ribu sebulan hasil dari keuntungan jualan Bubble Shake.
        Menurut Jikhaideel, beliau memulakan penjualan Bubble Shake ini di pasar malam Bukit Kachi iaitu di kawasan luar kampus yang menempatkan dua dewan penginapan pelajar. Modal permulaan beliau adalah sebanyak dua ribu ringgit yang merupakan duit beliau sendiri. Kemudian beliau telah meminta bantuan rakan beliau dari jurusan Perniagaan Antarabangsa untuk menjual minuman ini di kiosk rakan tersebut.
      Setelah satu semester, beliau berpindah pula menjalankan perniagaan ini di bangunan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS). Kemudian pada awal tahun ini, beliau telah menyewa satu kiosk dengan bayaran sebanyak 300 ringgit sebulan di COLGIS. Bagi menanmpung peningkatan jualan, beliau mendapatkan bantuan dari rakan-rakan yang juga berasal dari Thailand untuk membantu dalam menjalankan perniagaan ini.
      Keistimewaan minuman Bubble Shake ini ialah ianya menggunakan teh hijau yang dikatakan mampu membantu pelajar memberikan tumpuan kepada pembelajaran selain memiliki nutrien yang terbaik untuk kesihatan. Bubble Shake didatangkan dengan empat pilihan teh, sembilan jenis perisa dan tiga pilihan topping. Harganya bermula dari RM3.50 sahaja.
      Namun kita sedia maklum bahawa setiap perniagaan pastinya mempunyai cabaran yang tersendiri. Antara cabaran yang dihadapi oleh pelajar Semester enam ini ialah masalah pengenaan cukai ke atas bahan-bahan memandangkan semua teh diimport daripada Taiwan manakala bahan-bahan lain seperti susu, gula dan perisa diambil daripada Thailand. Masalah pengangkutan turut dialami kerana beliau perlu pergi ke Danok untuk mengambil bahan-bahan ini.
       Namun cabaran yang dihadapinya tidak mematahkan semangat dan harapan Jikhaideel dalam perniagaan ini. Beliau berhasrat untuk memperkembangkan lagi perniagaan beliau ini supaya setanding dengan minuman lain seperti Cool Blog dan Cool Station selain mempelbagaikan lagi jenis minuman.

 

Jikhaideel (kiri) bersama tiga lagi rakan dari Thailand yang turut sama
membantu pengoperasian Bubble Shake.

1 comment: