Gambar Pilihan

Wednesday 29 April 2015

Tayangan amal “Isyarat Cinta” meriah

OLEH MOHAMAD HISYAMUDIN ZAKARIA
mrrabbit9292@gmail.com


SINTOK - Tayangan amal filem Isyarat Cinta lakonan Adi Putra, Liyana Jasmay dan Fizo Omar dibanjiri kira-kira 1000 penonton dalam kalangan mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) dan masyarakat sekitar UUM bagi hadir memberi sokongan dan menjadi antara penonton terawal yang berpeluang menyaksikan filem berkenaan.
     Filem yang bertemakan Orang Kelainan Upaya (OKU) arahan Bade Haji Azmi itu ditayangkan selama dua hari bermula 20 hingga 21 Mac pada jam 8.30 malam di Dewan Mu'adzam Shah, UUM.
     Tayangan amal tersebut bermatlamat untuk membantu golongan yang memerlukan. Hasil kutipan daripada penjualan tiket tayangan amal filem Isyarat Cinta sebanyak RM8 itu akan disalurkan kepada Persatuan Kebajikan Orang Buta Kedah.
     Majlis turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran barisan pelakon  utama iaitu Fizo Omar dan Adi Putra serta penampilan khas Tomok dan Muaz. Penonton  juga berpeluang untuk beramah  mesra dengan barisan pelakon utama filem tersebut pada malam  tayangan  hari pertama filem itu.
   Pengarah projek, Mohamad Amin Haziq Mustapa berkata, program ini diadakan bagi memperlihatkan kerjasama antara mahasiswa dengan para penggiat seni yang bersama-sama memainkan peranan dalam usaha membantu golongan yang memerlukan.
     Menurutnya lagi, beliau sangat berbesar hati kerana ramai mahasiswa UUM berjaya hadir bagi memeriahkan lagi majlis Tayangan Amal filem Isyarat Cinta berkenaan. Beliau juga sangat berbangga dengan komitmen yang diberikan  oleh barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar UUM yang berjaya mengendalikan majlis ini dengan jayanya.
     Menurut Bade Haji Azmi filem  ini yang mula ditayangkan di pawagam pada 19 Mac lalu  tidak akan ditayangkan di mana-mana stesen televisyen berbayar, katanya baru-baru ini.
   Naib Canselor, Prof. Dato' Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak juga turut sama hadir bagi menyaksikan tayangan amal filem berkenaan.

Tayangan amal dilangsungkan di Dewan Muadzam Shah

1 comment:

  1. Tayangan amal ini amat bermanfaat kerana hasil kutipan daripada penjualan tiket tersebut akan disumbangkan kepada Persatuan Kebajikan Orang Buta di negeri Kedah. Disamping itu, tayangan amal ini juga dapat memupuk semangat tolong menolong dalam kalangan mahasiswa dalam memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

    ReplyDelete